Sunday, May 16, 2010

'Pemimpin dalam Diri'


Pagi sabtu di Bagan Datoh cukup mendamaikan. Isteri saya pagi-pagi lagi telah ke sekolah. Katanya, ada gotong-royong perdana seluruh sekolah di Malaysia. Kesian dia. Batuknya masih belum surut. Berkokok-kokok dari malam sehingga ke pagi. Saya bercita-cita menggunakan pagi itu sebaik mungkin, menghabiskan sebuah buku Stephen Covey bertajuk 'Leader In Me'. Hasil buah tangannya pada kali ini masih mengujakan. Bukan sebuah buku konsep atau How To. Tetapi lebih merupakan satu perkongsian pengalaman.

Saya tertarik membaca kisah beberapa buah sekolah yang berjaya menerapkan pengamalan 7 Habit's ke dalam pengurusan sekolah. Memang menarik apakah kesan menjadikan anak-anak kecil sebagai pemimpin. Melihat tubuh kecil itu mula memikul tanggungjawab dan memahami mengapa mereka perlu bertanggungjawab. Apabila mereka mula bertanggungjawab, memahami fungsi kepimpinan dan memimpin visi. Anak-anak inilah diharapkan memimpin visi kepimpinan masa depan.

Penerapan nilai ini, bukan berkaitan dengan pencapaian akademik semata-mata. Bahkan sahsiah dan nilai menjadi elemen penting dalam pembentukan diri mereka menjadi pemimpin. Tidak guna hanya hebat dari segi pencapaian akademik dan kepimpinan tetapi bankrup dari segi moral dan sahsiah.

Saya mencadangkan sempena Hari Guru ini, buat warga pendidik. Buku ini wajib menjadi buku bacaan anda. Agar anda sentiasa bermotivasi dan bersedia untuk menjadi 'ejen perubah masyarakat'.