Ayat ini mengisahkan pembunuhan. Pembunuhan pertama makhluk bergelar manusia. Manusia yang diberikan akal dan kewarasan. Masih melakukannya kerana hawa nafsu. Cemburu. Penyakit hati. Jika tidak dikawal, bernanah dan akhirnya membarah. Hilang sikap manusiawi. Sehingga sanggup membunuh.
Pembunuhan pertama yang dilakukan atas alasan korban ditolak. Bayangkan. Kecemburuan melibatkan Tuhan pun boleh sehingga mengambil nyawa orang lain. Namun, kadangkala ia hanya satu alasan. Mungkin atas kecemburuan lampau yang tidak lagi tertahan. Hanya memerlukan satu alasan bagi merosakkan manusia lain. Demi, memuaskan rasa cemburu.
Cemburu mempunyai dua cara melihatnya. Melihatnya daripada sudut positif dan sudut negatif. Daripada sudut rasional dan sudut emosi. Daripada sudut proaktif dan sudut reaktif.
Melihat daripada sudut pandang positif, rasional dan proaktif menjadikan kita muslim yang baik. Melihat orang lain mewah, dengan cemburu itu kita berusaha mengumpul harta. Melihat orang lain maju, kita berusaha dan belajar bagaimana menjadi maju. Melihat orang lain bahagia, kita mengambil pelajaran berguna untuk menerapkan dalam kehidupan kita.
Melihat daripada sudut pandang negatif, emosi dan reaktif seringkali menyebabkan orang lain rosak atau binasa. Hingga tidak disedari diri mula membinasa sedikit demi sedikit. Melihat orang lain mewah, dengan cemburu itu kita berusaha bagaimana dia boleh dimiskinkan. Melihat orang lain maju, bukan sahaja dirosakkan secara fizikal malahan tidak segan silu dibomohkan. Melihat orang lain bahagia, hati panas lalu mulalah mengadu domba. Agar hidup orang yang dicemburu itu rosak binasa.
Betapa banyak dalam kehidupan. Kita melihat orang yang membinasakan diri atas kecemburuan yang kedua. Jauhilah sifat yang membinasakan ini. Pandang daripada sudut positif bagi membangunkan diri. Jika orang lain boleh, maka kita boleh. Namun, ia bersyarat. Sanggup melalui kepayahan dan dan kesusahan yang menjadi prasyarat dalam kejayaan.
Sekian atas nukilan saya yang hanya berpengetahuan sedikit daripada lautan ilmu anda yang membaca. Saya hanya mampu merenung ayat-ayat Allah ini berdasarkan kemampuan saya. Jika renungan ini bersalahan dengan Islam Luruskan saya. Moga penulisan ini bermanfaat.
Hulu Kelang
4 September 2010
Mengapa manusia tidak mengambil pengajaran dari kisah yang sudah berlaku sekian lama sejak kewujudan manusia di muka bumi ini. Hari demi hari, banyak pembunuhan kejam berlaku di negara kita. Apatah lagi di negara luar. Adakah ini menandakan kiamat sudah dekat?Wallahualam
ReplyDelete