Saturday, July 18, 2009

Tentangan Di Jalan Dakwah...

Sesungguhnya Islam yang datang dari Allah adalah untuk menyelamatkan manusia dari virus kebodohan kepada cahaya keyakinan dan untuk menunjukkan mereka ke jalan yang lurus, berdiri di hadapannya dan menghadapi tentangan-tentangan yang besar.

Tentangan dan hambatan itu tidak menghilangkan cahaya Islam yang terang yang memenuhi seluruh alam semesta, meskipun pelbagai tentangan ini berpengaruh dalam perjalanan dakwah menuju kepada Allah.

Antara tentangan-tentangan ini adalah:
  1. Para mad'u (golongan sasaran yang menerima dakwah) yang mengikut hawa nafsu yang bertentangan dengan jalan Allah.
  2. Ramai di antara golongan sasaran tidak mahu menerima kebenaran.
  3. Banyaknya kebatilan berbanding pelaku kebenaran.
  4. Teman-teman yang buruk yang menentang jalan Allah. Mereka adalah musuh para Nabi dan Rasul.
  5. Lemahnya motivasi para pendakwah.
  6. Berpalingnya manusia ke dunia mengalahkan agama.
Saya tertarik dengan penulisan Dr. Aidh Al-Qarni dalam Bukunya Jadilah Hamba Allah Yang Sejati terbitan Pustaka Al-Hidayah. Yang mana di dalam jalan dakwah untuk membawa manusia yang jauh dari agama ALlah ini, kita tidak akan terlepas dari melalui pelbagai tentangan. Tentangan ini kadangkala menyebabkan banyak tercicirnyanya pendakwah-pendakwah yang berpotensi yang boleh digilap menjadi pendakwah yang hebat suatu hari nanti. Jika tentangan ini tidak dilihat secara positif maka pendakwah akan mudah kehilangan motivasi, semangat dan kekuatan untuk berdakwah.

Telah menjadi sunnatullah bagi yang sesiapa yang memilih jangan perjuangan dakwah ini bagi meneruskan misi yang pernah dibawa oleh para Rasul yang diutus oleh Allah sebelum ini akan diuji. Sama ada dengan kesusahan mahupun kesenangan. Tetapi tidak lain dan tidak bukan ujian ini akan meningkatkan lagi kualiti kita sebagai pendakwah. Banyak orang yang mampu bercakap namun sangat sedikit yang mampu membuktikan kata-kata. Bagi sesiapa yang mahu menjadi pendakwah jangan dijadikan tentangan-tentangan berikut sebagai halangan. Anda akan melaluinya dan perlu sangat melalui tentangan ini. Dengan pengalaman yang dikutip sepanjang jalan perjuangan dakwah ini sahabat-sahabatku akan menjadi pendakwah yang hebat suatau hari nanti.

Ingatlah! Berdakwah bukan untuk mencari populariti tetapi untuk memperjuangkan sunnah yang terbesar. Menarik muslim yang lalai dari islam dan Yang Belum Islam memilih Islam sebagai cara hidup mereka.

Darul Fitrah
Kuala Terengganu, Terengganu.

Wednesday, July 15, 2009

Berlemah Lembutlah Dalam Dakwah Kita...

Seorang mendatangi Ma'mun dan Ma'mun adalah seorang khalifah yang cerdas dan paling cerdik pada zamannya, akan tetapi dia mengatakan Al-Qur'an adalah makhluk, dan Allah akan menghitungnya.

Orang tersebut berkata: "Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya aku ingin memberi nasihat, akan tetapi aku akan bersikap keras kepadamu! Ma'mun menjawab: "Demi Allah, aku tidak akan mendengar mu, demi Allah aku tidak akan mendengar mu, demi Allah aku tidak akan mendengar mu." Orang itu berkata lagi, "Mengapa?" Khalifah menjawab: "Allah telah mengirimkan orang yang lebih baik dari mu kepada orang yang lebih buruk dari ku."

Allah s.w.t berfirman: "Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut." (Thaha: 44)

Saya sungguh respect di kalangan kita yang cukup bersemangat dalam islah dan dakwah yang mereka lakukan. Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah kerana kesedaran sahabat-sahabat untuk memastikan tiada setiap inci bumi yang sunyi daripada dakwah kepada agama ALLAH ini. Ada sesetengahnya yang berdakwah secara lemah lembut dan ada juga yang berdakwah dengan tangan itu lebih cepat daripada kata-kata. Dakwah adalah satu seni yang memerlukan kita menggunakan apa sahaja di sekeliling kita lalu dicorak penyampaian agar dapat membantu dalam menyentuh hati manusia-manusia yang kita dakwah. Seni dakwah setiap orang cukup berbeza.

Namun pada pandangan saya yang sebaik-baiknya apabila kita memulakan dakwah kita kepada seseorang maka lemah-lembut adalah kaedah yang terbaik. Yang mana kita mendekati orang yang kita ingin dakwahkan dengan senyuman yang cukup manis. Saya tertarik dengan satu kata-kata "Senyuman adalah sihir", jika senyuman diberi dengan penuh keikhlasan, manalah tahu ia mencairkan hati-hati yang jauh dari Allah lalu membawanya pulang kembali ke jalan kebenaran.

Terdapat di kalangan mereka yang kasar di dalam dakwah mereka, kononnya kerana jika hati itu tidak diketuk dengan keras atau tangan tidak sampai dulu ke muka, maka mereka-mereka yang jauh dari agama Allah ini tidak akan sedar. Lebih-lebih lagi kepada golongan pemerintah yang jauh dari agama Allah. Mungkin betul pada satu sudut. Lalu, saya kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah untuk melihat bagaimana Rasul-Rasul terdahulu berdakwah. Mungkin ada cara dakwah yang keras boleh saya gunakan dalam dakwah saya. Namun, tidak saya temui kisah yang menunjukkan Rasul-rasul dan Muhammad sendiri bersikap keras kepada orang yang didakwah selagi mana mereka tidak menghalangi jalan dakwah. Yang saya kerap temui adalah, Rasulullah selalu menahan sahabat-sahabat dari melakukan kekerasan kepada orang yang didakwah.

Wahai sahabat-sahabatku yang sama-sama terlibat dalam usaha dakwah dan islah. Saya ingin menyeru agar kita sama-sama dapat melenturkan lagi kaedah kita berdakwah. Bersikap baiklah kepada orang yang kita dakwah. Memang kita akan teruji dengan karektor-karektor yang menyakitkan hati kita. Tetapi, Muhamad Rasulullah lebih dasyat lagi menerima ujian yang pelbagai. Tetapi, kita termasuklah penulis blog ini pun kadangkala tidak sabar dalam usaha dakwah yang dilakukan. Mungkin kerana darah muda. Namun kita sebagai pendakwah perlulah selalu mengkoreksi diri agar kita-kita dapat memperbaiki diri dan skill dakwah kita. Yang lebih penting, janganlah lupa mendoakan mereka, janganlah mengumpat mereka, tetapi mintalah pendakwah lain juga bersama-sama mendoakan. Semoga, dengan izin Allah orang itu akan berubah dan menjadi lebih baik dari kita dan lebih kencang dakwahnya.

Semoga penulisan yang penuh kekurangan ini dapat memberi manfaat kepada pembacanya, kerana ia sekadar cetusan rasa dari hamba Allah yang serba kekurangan bernama Yusry. Sahabat-sahabat semua harap dapat doakan saya agar tetap kuat dan tahan dalam pelajaran yang saya lalui sekarang untuk menjadi seorang pendakwah. Kerana meminjam kata-kata Chee Hong “saya Budak Baru Belajar”

AU3, Hulu Kelang.

Wednesday, July 8, 2009

Amanah Yang Cukup Berat...



2 minggu lalu cukup menyesakkan. Kadang-kadang hati ini terfikir adakah layak memegang amanah yang begini besar dalam usia semuda ini. Namun, oleh kerana dipilih oleh sekumpulan manusia yang dipercayai, maka amanah ini akan digalas. Semoga kesinambungan gerak kerja amal islami dalam meriuhkan lagi usaha dakwah non-muslim di bumi Malaysia yang tercinta akan menjadi kenyataan. Perkim Ampang, ini adalah merupakan wadah saya dalam menyumbang ke arah dakwah kepada non-muslim. DiPengerusikan oleh Bro Zusuff manakala saya dilantik sebagai timbalannya dan dibantu oleh committee serta Strategic Advisor kami Bro Firdaus Meow, semoga kami akan dapat memikul amanah ini dengan sebaik mungkin.

Keunikan Perkim Ampang adalah ia antara Perkim Cawangan yang ditubuhkan oleh sekumpulan anak muda dan mereka yang berhati muda. Tidak lain dan tidak bukan, semoga dengan kehadiran kami dapat merancakkan lagi usaha dakwah di Kuala Lumpur dan Selangor khususnya, Malaysia umumnya. Semoga kami sentiasa memikul amanah ini dengan sedar dan penuh rasa tunduk kepada Allah. Dijauhi dari sifat riya' dan sum'ah. InsyaAllah..

Bro Zusuff, segala tepukanku untuk membantu dalam kepimpinanmu :-)


Wednesday, July 1, 2009

Kesibukan...

Saya agak sibuk sejak 2 bulan ini. Banyak masa terpaksa diluangkan bagi menyiapkan salah satu hasil karya saya yang memakan masa hampir 5 tahun. Yang mana pengalaman saya dalam menulis aktiviti dan permainan islami sebelum-sebelum ini banyak membantu. Ada kritikan yang lembut tidak kurang juga yang pedas. Namun ia tidak mematikan semangat saya dalam menghasilkan aktiviti dan permainan islami baru dari semasa ke semasa. Saya bercita-cita ingin menjadi pakar dalam merancang dan membangun aktiviti dan permainan islami 10 tahun atau 20 tahun lagi. Semoga membantu dalam menjadikan belajar Islam sebagai aktiviti yang menyeronokkan.

Sepanjang 2 bulan ini pelbagai perkara juga telah berlaku. Ada yang manis dan tidak kurang juga yang pahit. Namun itulah cabaran hidup kita sebagai seorang manusia. Setiap perkara yang datang kepada kita jika di fikirkan secara positif. Banyak pengajaran yang boleh diambil. Tetapi jika kita bersikap negatif. Kita akan memandang dunia dengan penuh pesimis. Seolah-olah seluruh makhluk di dunia ini berpakat untuk menyusahkan kita.

Sebagai pendakwah kita perlu sentiasa bersikap positif. Banyak di kalangan kita terutama yang baru berjinak-jinak dalam usaha dakwah. Apabila mereka melakukan usaha dakwah tiba-tiba ditolak dengan keras atau tidak dipedulikan. Mereka mula bersifat negatif. Merasakan diri mereka tidak layak. Tidak mampu dan pelbagai alasan lagi yang diberikan. Namun, masalah sebenarnya adalah sikap kita yang tidak mahu berusaha bersungguh-sungguh. Kita tidak bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu. Kita tidak bersungguh-sungguh dalam mendapatkan orang yang boleh mengasah skill kita. Kita tidak mahu bersabar untuk konsisten dalam dakwah kita kepada seseorang. Yang paling penting dalam dakwah ini kita perlu ada mentor yang boleh membimbing kita. Saya mungkin takut untuk mula berdakwah jika tidak kerana dibimbing oleh mentor-mentor seperti Bro Lim Jooi Soon, Bro Firdaus Meow, Bro Shah Kirit dan beberapa orang lagi yang membantu saya dalam lapangan yang berbeza.

Marilah kita mula berdakwah rakan-rakan.. jika kita tidak tahu.. ia bukan satu alasan kerana kita boleh belajar.. sama ada kita mahu atau tidak.. ia yang membezakan orang biasa dengan pendakwah.. kesediaan untuk belajar dan dibimbing..