Friday, March 11, 2011

Ya Allah. Maafkan aku...

Diskusi dengan revert. Berita baik. InsyaAllah ada rakannya yang mula berjinak-jinak dengan Islam. Kagum. Walaupun hanya belajar beberapa perkara tentang Islam. Beliau mula mengamalkan dan mula bertindak untuk berdakwah.
Malu saya. Huhu.
Mungkin inilah semangat sebagaimana sahabat Rasulullah yang apabila menerima satu ilmu lantas bersungguhsungguh menyampaikan.
Sehingga si kecil Muaz tidak takut dan gentar menghadapi segala dugaan. Mengumandangkan ayat-ayat wahyu. Sehingga dibelasah tanpa kasihan oleh golongan yang masih ingkar.
Betapa kefahaman dan kehendak menjadi faktor pendorong kepada mereka ini untuk mula berdakwah.
Sehingga dapat menarik atau mendoakan yang masih belum Islam dipandang sebagai perkara yang paling seronok dan paling nikmat.
Ah! Satu hirisan cemburu di hati. Kecemburuan yang tidak dapat ditahan-tahan. Lantas tidak kurang terasa malu. Malu kepada Tuhan. Malu akan diri yag masih longlai dalam melaksanakan tuntutan dakwah.
Ya Allah. Maafkan aku...

Thursday, March 10, 2011

Mengajar Sehingga Jelas | Panduan Dari Hadis

Memberi Pengajaran Sehingga Jelas

"Diriwayatkan dari Ibn 'Abbas r.a: Pada suatu hari Rasulullah keluar disertai Bilal. Baginda menghampiri sekelompok wanita yang berfikir bahawa mereka tidak dapat mendengar pembicaraannya. Maka Nabi memberi mereka nasihat dan perintah mengeluarkan sedekah; sebahagian mendermakan anting-antingnya, sebahagian mendermakan cincin-cincin, dan Bilal mengumpulkan dengan hujung pakaiannya."

(Muhktasar Shahih Bukhari)

Sebagai guru, jika kita mendapati ada dikalangan pelajar kita yang masih tidak jelas atau tidak memahami apa yang kita ajar. Maka sebaik-baiknya kita cuba menjelaskan sehingga apa yang diajar bukan setakat kata-kata, tetapi menjadi ilmu yang difahami. Ilmu yang jelas lagi difahami menghasilkan natijah yang baik. Ilmu yang berbekas akan menjadi bekalan hidup kepada para pelajar sepanjang hidupnya.

Hadis di atas menunjukkan betapa Rasulullah sebagai Guru yang Agung memberi contoh bagaimana sepatutnya kita berinteraksi dengan pelajar. Jika ada yang tidak jelas atau butir kata yang tidak difahami maka sebagai guru kita perlu berusaha bersungguh dalam memastikan memastikan suatu pelajaran itu benar-benar difahami. Usaha Rasulullah terbukti memberi kesan. Wanita-wanita yang diberi perhatian khusus ini akhirnya bertindak kerana terkesan dengan ilmu yang diajar.

Sebagai guru, pada saya kita jangan hanya mengharapkan pelajar sahaja yang bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu. Malahan kita juga perlu bersungguh-sungguh dalam memberikan ilmu. Di kala melihat ada murid kita yang tertinggal. Kita tidak berputus asa mendorong dan mendorong sehingga mereka berjaya atau menjadi insan yang lebih baik sekurang-kurangnya dalam pengetahuan asas Islam.

Banyak teori yang diajar kepada para guru dalam memastikan mereka dapat menggunakan teori itu dalam berinteraksi dalam kepelbagaian murid. Namun, jangan dilupa bahawa melalui hadis kita dapat belajar bagaimana multi dimensinya pendekatan Rasulullah dalam berinteraksi dengan kepelbagaian gaya belajar para sahabat. Itulah tauladan yang terbaik. Semua yang dididik baginda menjadi sebaik-baik manusia yang dalam masa yang saya mampu mendidik manusia lain ke arah kebaikan.

Sampai sini sahaja dahulu. Kepada para guru. Selamat mendidik. InsyaAllah tidak akan dikurangi pahala anda walaupun sedikit jika anda ikhlas dan bersungguh dalam mendidik. Luangkan masa dalam mengkaji hadis-hadis nabi. Lihatlah betapa hebatnya nabi kita memberi pengajaran sehingga orang yang kurang daya fikirnya turut terkesan dengan didikan baginda.

AU3, Hulu Klang

Wednesday, March 9, 2011

Hari Khas Belajar Untuk Wanita

Diriwayatkan dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a.: Beberapa orang perempuan memohon kepada Nabi Muhammad untuk memberi mereka waktu secara terpisah selama sehari sebab kaum lelaki telah mengambil seluruh waktunya. Mendengar permintaan itu Nabi Muhammad menjanjikan kepada mereka satu hari untuk memberikan pelajaran dan perintah-perintah agama. Pada hari yang dijanjikan Rasulullah bersabda, "Seorang perempuan yang melahirkan tiga anak yang meninggal akan dilindungi mereka dari api neraka." Seorang perempuan bertanya,"Bagaimana kalau dua?" Nabi Muhammad menjawab, "Ia pun akan dilindungi dari api neraka."

(Hadis dikutip dari Muhktasar Shahih Bukhari)

Saya amat kagum di zaman Rasulullah telah muncul segolongan wanita yang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Malahan meminta satu hari khas dalam seminggu dalam memastikan mereka tidak ketinggalan mengutip mutiara-mutiara hikmah daripada baginda Rasulullah.

Sebagai pendidik hebat, Rasulullah tahu wanita mempunyai perasaan malu. Perasaan itu akan berkurang apabila di dalam kelompok wanita sahaja. Pengalaman hasil bicara dengan beberapa rakan wanita. Mereka mengatakan jika dikalangan wanita sahaja ada sesetengah di kalangan mereka lebih mudah untuk berkomunikasi bagi bertanya dan berdiskusi. Terutama jika ingin bertanyakan persoalan yang dianggap sulit dan aib.

Satu perkara yang tidak kurang menakjubkan saya, di kala timbul suara-suara yang mengatakan Islam menindas wanita. Wanita tidak boleh bersuara bagi menyuarakan pendapat. Hadis ini sudah cukup menutup mulut mereka. Wanita pada zaman Rasulullah sudah berani menyuarakan hak mereka. Mendapat pendidikan sepertimana lelaki. Rasulullah tidak menengking atau memarahi mereka. Malah memberikan ruang bagi mendapat ilmu.

Moga ada manfaat terutama buat para guru dan pendidik. Mendidik tidak memilih bulu. Lelaki dan wanita mendapat ruang dan peluang yang sama.

Akan-akan datang InsyaAllah lebih banyak perkongsian tentang Rasulullah sebagai pendidik akan saya kongsikan.

AU3, Hulu Kelang

Tuesday, March 8, 2011

Sepucuk Surat Dakwah daripada Rasulullah

Diriwayatkan dari Ibn 'Abbas r.a.:

Pada suatu hari Rasulullah memberikan sepucuk surat kepada seseorang dan memerintahkan orang itu memberikan surat itu kepada Gabenor Bahrain. (Ia pun melaksanakan tugas itu) dan Gabenor Bahrain mengirimkannya kepada Kisrah (gelaran raja Persia), yang setelah membaca surat itu mengoyaknya sampai beserpihan. (Ibn Mushayyab) berkata, "Rasulullah memohon kepada Allah agar menghancurkan kerajaannya hingga berkeping-keping."
(Shahih Bukhari)

Hadis yang jika diteliti sangat menarik. Nabi yang ummi (tidak boleh membaca dan menulis) masih mampu meminta sahabatnya menulis sepucuk surat dalam memastikan mesej Islam diterima di segenap pelusuk.
Dalam dunia e-mail,YM!,FB hatta Twitter. Kita masih tidak mampu atau tidak tahu bagaimana menggunakan sebaik-baiknya alat ini sebagai penyebar mesej yang paling agung.
Menyeru kepada manusia menyembah tuhan yang selayaknya disembah.
Mungkin sesuatu usaha boleh dilakukan bagi meneruskan sunnah ini.
Sekurang-kurang bertanya khabar kepada rakan terdekat. Mungkin boleh menjadi pencetus bicara. Berbual-bual berkenaan Islam yang selalu disalah fahami. Sambil jangan lupa mengirim doa pada Allah.
Moga terbuka hati. Bicara kita menjadi sihir. Membuka hatinya mendampingi Islam yang diredhai.
Cukuplah kalam saya sampai di sini. Akan saya kongsikan lagi jika berpeluang. Maklumbalas teman-teman saya alu-alukan.
Buat bekalan kita dalam menelusuri jalan dakwah ini.

Sunday, March 6, 2011

Temuduga Adnan.

Kasihan seorang teman revert bernama Adnan.
Menghubungi saya dengan nada kecewa.
Temuduganya tertangguh lagi.

Namun ayatnya membuatkan mata saya berkaca.

"Ini adalah ujian Allah untuk saya. Saya redha."

*Beliau akan menghadiri temuduga sekali lagi hari Rabu ini. Doakan ya.

Revert Class 'Islam itu Mudah'

Malam ini, Revert Class di Hidayah Centre Wangsa Maju Seksyen 5.
Topik 'Islam Itu Mudah' dibantu Cik Puan Suhana Salihuddin dan Cik Puan Salasiah Salihuddin.
Artikel ini ditulis khas oleh Sh. R Firdaus A Wahab bagi bacaan pendakwah dan revert.

Perkim Ampang: We Unleash The Daie in You!

Berkongsi cerita tentang Rasulullah

Pada sesi bersama revert khamis lepas. Saya banyak berkongsi berkenaan Rasulullah sebagai contoh tauladan muslim.
Mereka memberi sepenuh perhatian apabila mendengar cerita.
Yang penting cerita itu perlu shahih, bukan cerita yang ditokok-tambah bagi menyedapkannya lagi.
Perkim Ampang: We Unleash The Daie in You!